KARANGAN


Kenapakah saya memaparkan perenggan-perenggan di bawah ? Sebabnya, salah satu kaedah penting bagi membaiki kualiti karangan ialah membaca esei yang baik,  dan seterusnya, mengutip ilmu penulisan iaitu kaedah penulis berbahasa dan mengolah ayat. Lihat dan tiru kaedah yang digunakan serta berlatih mengaplikasikannya.
Semua perenggan atau ayat di bawah dipilih kerana keberkesanannya kepada pembaca dan mesej disampaikan dengan menarik. Apabila membaca akhbar dan majalah, kenal pasti ungkapan menarik dan manfaatkannya.
KEFASIHAN pemuda Australia itu berbahasa Melayu cukup menakjubkan apatah lagi mendengar kepetahan beliau berbicara menggunakan dialek pantai timur. Apabila bertemu empat mata dengan jejaka ini, terasa malu berbaur bangga. Malu kerana orang luar lebih sayang akan bahasa kebangsaan kita tetapi bangga kerana beliau berjaya menguasainya dalam tempoh yang singkat.  
BAGAIMANAKAH wajah Kuala Lumpur 100 tahun lalu? Siapakah yang membuka dan menyemarakkan kota itu pada akhir abad ke-19? Dalam hal ini, kita tidak boleh menyisihkan sumbangan Haji Abdullah Hukum, pedagang yang menyuntik pertumbuhan ekonomi Kuala Lumpur pada 1850-an. 
TIDAK ramai yang mahu menerima fakta bahawa membaca buku itu boleh membina minda berilmu, saling tidak tumpah seperti peranan makanan berkhasiat untuk menghasilkan badan yang sihat. 
PENGARUH permainan video terhadap psikologi kanak-kanak menyebabkan golongan itu membesar sebagai insan yang ganas sekali gus mendorong pelbagai perlakuan agresif. Menurut pakar psikiatri, Dr Mohamad Hussain, dari aspek psikologi kanak-kanak yang bermain permainan video ganas, bukan saja berimaginasi malah menghayati babak pembunuhan itu kerana mereka bertindak selaku watak utama dalam permainan, seterusnya perlakuan ganas dalam permainan video akan terbawa-bawa ke alam realiti. 
PEPATAH Cina ada menyatakan bahawa yang menggerakkan tubuh badan bukanlah kaki tetapi sebenarnya minda dan fikiran. Oleh itu, minda kita keseluruhannya perlu dipacu dengan ilmu pengetahuan, serta wajar diasah dan diasuh agar berfikir mencipta kegemilangan.  
PEMIKIR tersohor, Descartes menekankan bahawa membaca buku bermutu itu ibarat ‘berdialog’ dengan orang-orang hebat atau pemikir-pemikir besar. Bahkan, buku dapat mempertemukan dan menghubungkan dunia masa silam dengan dunia pembaca masa kini. Betapa hebatnya pengaruh buku itu, sehinggakan Voltaire menegaskan buku mampu membakar semangat sesuatu bangsa dan mengubah dunia.
 APA gunanya kita mempunyai kemudahan yang canggih tetapi rakyat kita tidak mampu menggunakannya kerana mereka tidak celik minda dan tidak mempunyai pengetahuan. Hal ini boleh diumpamakan sebuah negara yang subur dan mempunyai banyak hasil bumi seperti emas, perak dan permata, tetapi semua itu akan menjadi sia-sia, sekiranya tenaga manusianya tidak berkualiti, tidak berpengetahuan dan tidak mampu menguasai teknologi.

INDUSTRI PELANCONGAN
Pelancongan merupakan industri perkhidmatan utama yang kian berkembang maju dan mendatangkan keuntungan besar dalam bentuk tukaran asing serta memasyhurkan Malaysia di mata dunia. Pada tahun 2000, seramai 10.2 juta orang pelancong (termasuk pelancong domestik) berkunjung ke Malaysia yang menghasilkan pendapatan RM20 bilion, termasuk RM17 bilion daripada pertukaran asing (Berita Harian, 9 Jun 2001). Angka tersebut melebihi jangkaan 6.4 juta pelancong yang diramalkan akan datang ke Malaysia. Malaysia juga merupakan negara ketiga paling ramai menerima pelancong di Asia Timur – selepas China dan Hong Kong.
* Malaysia merupakan destinasi pelancongan tropika indah yang sangat berpotensi di Asia yang bukan sahaja dapat menarik pelancong antarabangsa tetapi juga menawan warga tempatan.
CINTAI SUNGAI
Sejak beberapa tahun, kerajaan telah melancarkan kempen ”Sayangi Sungai ”dalam negara yang merangkumi pelbagai usaha memantau, memulihara, membersih dan  mengindahkan keadaan sungai. Walaupun begitu, belakangan ini, isu pencemaran sungai kian serius sehinggakan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Azmi Khalid  melahirkan rasa kecewanya kerana tidak terdapat kesan yang boleh dibanggakan terhadap keadaan banyak sungai kita.
Mengikut perangkaan yang diberikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Perairan dan Saliran,   Datuk Keizrul Abdullah, kedudukan sungai dalam negara kita sebenarnya semakin meruncing. Daripada keseluruhan 120 kawasan lembah sungai yang dipantau Jabatan Alam  Sekitar (JAS) kedudukan pencemarannya semakin buruk dari tahun ke tahun. Pada tahun 2002, masih ada 63 sungai dikategorikan sebagai bersih, tetapi setahun  kemudian hanya tinggal 58 sungai yang masih bersih. Pada 2002, 43 sungai dianggap sudah tercemar manakala setahun kemudian jumlah sungai yang tercemar meningkat kepada 53. Bagaimanapun,  jumlah sungai yang mengalami pencemaran teruk tinggal sembilan batang saja pada 2003 berbanding dengan 14 sebelum itu. Tidak diketahui apakah yang menyebabkan lima sungai yang tercemar teruk pada 2002 bertambah baik setahun kemudian.  



Tiada ulasan:

Catat Ulasan